JUARA Liga Super, Kelantan
menampilkan aksi mantap pada babak kedua untuk menumpaskan Sarawak 3-1 pada
perlawanan terakhir liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan
skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya
apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.
Skuad The Red Warriors berjaya
mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII
untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia
(Liga-M) musim ini.
Kemenangan tersebut cukup manis buat
semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan
18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, skuad The Red
Warriors yang sudah dinobatkan selaku juara liga tidak memberikan laluan mudah
buat pasukan bimbingan Robert Albert apabila mempamerkan aksi bertenaga
meskipun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh
Norshahrul Idlan Talaha.
Situasi sama turut berlaku kepada
pasukan pelawat yang menyaksikan jentera serangan yang dikemudi tonggak import,
Joel Epalle gagal memecahkan kebuntuan, sekali gus menyaksikan kedudukan
separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, Sarawak
yang dilihat cuba mendominasi perlawanan dikejutkan dengan jaringan pertama
tuan rumah menerusi kapten, Mohd. Badhri hasil sepakan percuma pada minit
ke-61.
Selang empat minit kemudian, Stadium
Sultan Muhammad IV sekali lagi bergemuruh dengan sorakan penyokong apabila
pemain sayap, Nor Farhan Mohammad meledakkan gol kedua tuan rumah.
Nor Farhan terus membuktikan
ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan selepas menerima
hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri pada minit ke-67, sekali gus melengkapkan
jaringan kedua peribadi.
Gol tersebut tidak menjejaskan
rentak permainan pelawat yang akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit
ke-69 menerusi Mohd. Hairul Moktar.
Keputusan 3-1 kekal berpihak kepada
tuan rumah dan Stadium Sultan Muhammad IV bergemuruh dengan sorakan para
penyokong setia Kelantan bagi meraikan kejuaraan mempertahankan trofi Liga
Super buat kali kedua berturut-turut.
Sumber : Kosmo & Facebook
No comments:
Post a Comment