Friday, 5 October 2012

PETUA UNTUK KEBAHAGIAN RUMAHTANGGA


Sebelum berkahwin semuanya indah belaka. Tetapi apabila sudah bergelar suami isteri dan hidup bersama, ada sahaja yang tidak kena. Sebelum bergelar suami isteri, setiap pasangan perlu mengenali diri mereka sendiri agar lebih mudah menjalani kehidupan bersama. Oleh itu komunikasi di dalam perhubungan suami isteri amat penting. Ini kerana, ianya melibatkan dua individu yang selalunya berbeza dalam kebanyakan hal. Kita perlu selalu bermuhasabah diri dan menganalisis sikap, nilai, kelemahan dan kekuatan diri kita.

1. Andaian salah mengenai peranan suami isteri 


 Seorang suami yang mengandaikan bahawa semua wanita suka memasak mungkin menghadapi masalah sekiranya membelikan barangan dapur untuk isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan. Ini kerana bukan semua wanita gemar memasak terutamanya mereka yang bekerjaya dan tiada masa untuk melakukan kerja-kerja dapur.

2. Mengharapkan pasangan mempunyai sikap dan perasaan serupa dengan diri sendiri


 Lazimnya, seseorang akan mencari pasangan yang mempunyai sikap, pemikiran dan kesukaan yang serupa dengan dirinya. Namun suami atau isteri perlu memberi sedikit ruang perbezaan. Perbezaan begini sebenarnya memberi peluang untuk suami isteri berkomunikasi dengan lebih kerap. Bagaimanapun, perbezaan sebegini kerap kali dijadikan rintangan dan punca perselisihan.

Cara yang berkesan menangani perbezaan ini ialah menerima pasangan seadanya. Sekiranya terdapat sedikit kelemahan dari segi perangai pasangan, bersabarlah dan berusahalah untuk mengatasinya. Adakalanya perbezaan yang wujud memberikan lebih warna di dalam hubungan suami isteri. Jadi tidaklah kehidupan anda dan pasangan terlalu bosan kerana sentiasa melakukan perkara yang sama.


3. Mudah mencari kelemahan pasangan 


  Komunikasi dan seterusnya perhubungan antara suami isteri juga boleh terhalang sekiranya salah seorang atau kedua-dua suka mencari kelemahan atau kesalahan orang lain. Sikap sebegini perlu dikikis supaya tidak terbawa-bawa di dalam perhubungan suami isteri. Seeloknya sentiasa mengingati saat-saat manis ketika bersama. Barulah kehidupan anda dan pasangan lebih ceria.

4. Terlalu Cemburu


Kata orang sikap cemburu menunjukkan pasangan anda menyayangi anda. Tetapi kalau sikap cemburunya sangat keterlaluan, siapa yang mampu bertahan?
Pasangan yang tidak saling mempercayai antara satu dengan lain tidak akan dapat menyatakan perasaan mereka secara jujur. Mereka akan berkelakuan buruk sangka dan tidak dapat meneruskan perhubungan dalam suasana yang baik. Kesannya, rumahtangga kita tidak akan aman dan anak-anaklah yang selalu menjadi mangsa.

5. Ingin Menguasai Pasangan 


 Suami atau isteri yang pentingkan diri sendiri biasanya ingin berkuasa ke atas pasangannya sehingga hanya wujud komunikasi sehala di antara mereka. Suami atau isteri yang terlalu dominan juga memaparkan sifat suka merendah-rendahkan pasangannya. Akibatnya perhubungan menjadi kaku dan tidak mesra. Bagi pasangan yang tidak mampu bertahan, mereka mungkin akan mengambil keputusan untuk pergi daripada terus dibelenggu oleh sikap pasangan yang terlalu mengawal. Oleh itu, untuk mendapatkan kebahagiaan, sebagai suami atau isteri, kita perlu bertolak ansur dan jangan sekali-kali mengabaikan perasaan pasangan kita.

Sumber : ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

No comments:

Post a Comment